background

Monday, December 27, 2010

Bila Isteri Tak Pandai Memasak


Bagi suami yang mendapat isteri yang pandai memasak, rajin memasak, suka tengok orang makan masakannya dan cekap memasak untuk orang ramai, dia adalah suami yang beruntung.

Tetapi awas, jika kita seorang pendakwah, maka ini adalah ujian dan peluang yang jangan diabaikan daripada Allah untuk kita bersama-sama dengan isteri yang mempunyai kemahiran ini, melakukan dakwah melalui jemputan makan-makan di rumah kita.
Kaedah pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam berdakwah terhadap keluarga terdekatnya ialah menjemput mereka makan kenduri di rumah baginda. Pastinya isteri baginda Saidatina Khadijah r.a. telah menyediakan yang sedap untuk mereka.
Oleh itu, bantulah isteri ini dari segi persediaan memasak, menghidang dan membasuh pinggan mangkuk selepas program tersebut. Selalunya apabila isteri kita telah menyediakan masakan, kita pun ‘take for granted’ yang dia juga pakar membasuh pinggan mangkuk dan kuali periuk. Kita tinggalkannya bersendirian bertungkus-lumus mengasah dan membasuh bakatnya di situ pula. Kasihan dia. Sudahlah dia letih memasak, basuh pinggan pun dia kena buat juga.
Alangkah baiknya jika kita puji masakannya tadi dan bersama-sama menyingsing lengan baju menggilap pinggan mangkuk dengan sentuhan ajaib ‘Axion’.
Bagi suami yang ditakdirkan berjodoh dengan isteri yang tidak pandai memasak, apalagi tak tahu memasak jamuan untuk orang ramai, maka kita juga ada ujian dan peluang daripada Allah untuk mendapat pahala-Nya.

Secara tabiinya, isteri yang bersifat lemah-lembut itu, memang suka melayan suaminya dalam segala hal keperluan dan kehendak. Begitu juga dalam hal memasak untuk suaminya.
Memasak adalah satu kemahiran. Untuk mendapat kemahiran ini, seseorang itu memerlukan latihan psikomotor. Kebanyakan isteri yang tidak pandai memasak ini adalah kerana mereka semasa remaja dulu tidak berpeluang mendapat kemahiran ini. Jika semasa mereka berada dalam tingkatan satu atau empat telah mula tinggal di asrama yang biasanya memakan nasi kawah, pastinya tiada peluang untuk mereka mempelajarinya. Begitu juga yang tinggal di rumah bersama emak. Kadang-kadang emak menyuruh anak perempuan ini menumpukan perhatiannya kepada pelajaran.

Ada juga yang mempunyai pembantu rumah yang menyebabkan anak-anak ini bertambah malas hendak ke dapur. Apabila sudah bekerja, masa untuk belajar memasak telah digunakan untuk menguruskan hal-hal kerjaya di pejabat. Begitulah kesudahannya. Tak pandai memasak.
Walau bagaimanapun, isteri-isteri ini pandai pula memasak masakan moden (western dan continental) yang mereka pelajari dari sekolah dan rakan-rakan semasa menuntut di dalam atau luar negara. Ini adalah suatu kekuatan yang mereka miliki.

Oleh itu, bagi suami yang mempunyai isteri seperti di atas, dia hendaklah berterus-terang secara berhikmah. Jangan terlampau ‘direct’ mengatakan masakannya itu tak sedap. Tetapi carilah waktu yang sesuai seperti bawa dia ke restoran yang sedap masakannya. Dan katakan kepadanya, “Yang! ingat lagi tak masakan tomyam semasa Yang masak untuk jamuan di surau minggu lepas, ada beza tak dengan yang ini? Abang rasa dia bubuh sos sekian-sekian dan ditambah daun limau purut sekian-sekian kot.. mari kita tanya tukang masak tu..”

Jika kita berbohong dengan mengatakan masakannya sedap, sampai bila-bila pun dia tidak akan memperbaiki mutu masakannya. Oleh itu, kaedah di atas adalah salah satu cara yang boleh diamalkan. Dan banyak lagi kaedah lain yang berhikmah.

Kedua, jika isteri kita ini amat berminat untuk memasak jamuan untuk orang-orang di surau sedangkan dia tak pandai, maka kita cadangkan kepadanya memasak masakan moden atau asing bagi kariah di surau itu. Contohnya, jika laksa adalah makanan tradisional utama di situ, maka jangan sekali-kali membenarkan isteri kita memasak laksa. Carilah masakan moden seperti nasi ayam atau mee sup. Atau gunakan perencah-perencah ‘instant’ yang boleh didapati di kedai seperti rendang untuk dimakan dengan nasi impit ‘segera’.

Satu lagi peringatan untuk kita ialah jika isteri kita orang Kelantan yang pakar memasak laksa Kelantan, sudah tentu ia tidak sedap kepada lidah suami yang berasal dari Johor. Begitu juga suami yang sudah biasa dengan laksa Kuala Perlis, pasti tidak selera dengan laksa isteri dari Pulau Pinang.
Dengan demikian, berusahalah sesama kita suami isteri mengorientasikan lidah masing-masing mengikut kesedapan masing-masing. Carilah masa pada hujung-hujung minggu bersama isteri belajar memasak sama ada tradisional mahu pun moden. Jadikan ia sebagai salah satu aktiviti rekreasi keuarga. Dan sama-samalah menilai masakan itu.

Selain itu, jangan lupa ajak anak-anak perempuan kita bersama-sama menerokai bidang masakan ini. Supaya dia tidak menyalahkan ibunya kelak kerana tidak mengajarnya.
Akhir kata, paradigma isteri pandai memasak ini akan pupus juga akhirnya dengan kedatangan budaya makanan segera, jamuan di restoran, industri katerer masakan dan sindrom ketuhar mikro yang mendatang.

Artikel ini merupakan salah satu bab yang dipetik dari buku Pak Utih bertajuk 'Suami Memimpin, Isteri Mengurus'. Dapatkan dalam bengkel Mahligai Kasih anjuran kami!

Sumber : http://mahligaikasihkita.blogspot.com/2010/06/bila-isteri-tak-pandai-memasak.html

No comments:

Post a Comment

Cer komen sikit ^_*